KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia menyangkal dakwaan dangkal Prof Bruce Gilley yang mengatakan Malaysia adalah sebuah negara tidak selamat dilawati.

Memetik laporan Free Malaysia Today, pihak kedutaan itu berkata, tiada perubahan kepada nasihat perjalanan yang kekal pada tahap satu, iaitu tahap paling rendah daripada empat tahap.

"Tahap satu, iaitu tahap paling rendah daripada empat tahap," katanya ringkas.

Kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan Gilley di satu program Universiti Malaya yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mendakwa ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi.

Melalui hantaran di platform X pula, Gilley mendakwa negara ini tidak selamat untuk dilawati.

"Saya telah selamat berlepas dari Malaysia, selangkah di hadapan gerombolan Islamo-fasis yang ‘disebat’ oleh kerajaan di sana. Ini bukan negara yang selamat untuk dilawati sekarang,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik kira-kira jam 9.30 pagi, Khamis.

Semakan di laman web jabatan negara AS, mengatakan Tahap 1 ialah tahap nasihat terendah untuk risiko keselamatan dan keselamatan walaupun terdapat beberapa risiko dalam mana-mana perjalanan antarabangsa.

Ia menggesa pelancong untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang biasa.

Sementara tahap 4 pula menasihatkan warga AS agar tidak pergi ke negara itu atau meninggalkan negara itu secepat mungkin.

"Itu adalah tahap nasihat tertinggi kerana kemungkinan besar risiko yang mengancam nyawa. Kerajaan AS mungkin mempunyai keupayaan yang sangat terhad untuk memberikan bantuan, termasuk semasa kecemasan," menurut nasihat itu.